Tuesday, August 2, 2011

Gelongsor untuk pekerja di stesen komuter



UTRECHT, Belanda - Bilangan pengguna komuter sering kali meningkat terutama pada waktu pagi.

Kini pengguna menarik nafas lega dan berterima kasih apabila gelongsor telah disediakan di tepi tangga sebuah stesen kereta api di sini.

Gelongsor itu digunakan oleh orang ramai yang bekerja di sekitar kawasan berkenaan bagi menjadikan perjalanan lebih cepat tanpa menggunakan tangga.

Direka oleh firma reka bentuk Designers HIK, gelongsor yang dibina itu sungguh hebat untuk pengguna yang kelewatan atau sekadar ingin menambah keseronokan kehidupan seharian masing-masing. - Agensi


http://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=NYfBHA1QbGU

Monday, August 1, 2011

Pemuda mungkin buta terkena mercun ketika perlawanan bola sepak





AHMAD Jazimin yang cedera di mata ketika menyaksikan perlawanan
antara Malaysia menentang Singapura dirawat di PPUM, Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 31 Julai - Seorang pemuda tidak menyangka hasratnya untuk menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Khamis lalu, berakhir dengan tragedi apabila saraf mata kanannya disahkan rosak akibat terkena mercun.

Kejadian berlaku sebelum perlawanan bermula iaitu kira-kira pukul 9 malam, sejurus selepas para penonton selesai menyanyikan lagu Negaraku.

Semasa insiden, mangsa, Ahmad Jazimin Jalaluddin, 29, yang berasal dari Ketereh, Kelantan dan menetap di Bangi dekat sini, berada bersama rakannya, Mohd. Azhari Arifin, 29, di tempat duduk di bahagian hadapan.

Menurut Mohd. Azhari, namun tanpa disangka-sangka sebutir mercun dipercayai dibaling oleh penonton di belakang tempat duduk di kawasan itu tiba-tiba meletup di hadapan mereka.

"Ahmad Jazimin mengadu sakit dan masa itu saya lihat mata kanannya berdarah. Kami berdua lalu keluar dan mendapatkan rawatan daripada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di luar stadium.

"Ahmad Jazimin kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) lalu ditahan untuk rawatan lanjut," katanya di sini hari ini.

Mohd. Azhari berkata, Ahmad Jazimin yang masih dirawat di PPUM sehingga hari ini, dimaklumkan doktor merawatnya bahawa mata kanannya itu berkemungkinan buta kerana saraf yang rosak.

Katanya, lebih menyukarkan keadaan apabila isteri Ahmad Jazimin dikenali sebagai Ina tidak sempat menjaga suaminya itu kerana dimasukkan ke wad untuk bersalin.

"Ia satu dugaan berat buat rakan saya apatah lagi menjelang Ramadan ini. Dia kini dijaga oleh ibunya di PPUM untuk tempoh dijangka seminggu lagi kerana doktor perlu memastikan tiada jangkitan pada mata itu," katanya.

Mohd. Azhari berkata, berikutan kejadian itu, dia telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil pukul 10 malam keesokan harinya.