Thursday, May 27, 2010

rokok 14 idaman

PUTRAJAYA 27 Mei – Pengharaman penjualan rokok 14 batang tidak dapat dikuatkuasakan mulai 1 Jun ini kerana Kementerian Kesihatan memerlukan lebih banyak masa untuk membuat kajian mengenai kesannya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tarikh penguatkuasaan itu tidak dapat dilaksanakan kerana bimbang pengharaman penjualan rokok 14 batang akan menyebabkan lebih banyak lambakan rokok haram di negara ini.

"Pengecualian untuk penjualan rokok 14 batang sememangnya diberikan sehingga satu tarikh yang belum diputuskan pada 2010, namun kementerian sebelum ini membuat cadangan untuk mempercepatkannya kepada Jun ini.

"Memandangkan lebih banyak data diperlukan tentang kesannya, Kabinet semalam memutuskan supaya ia tidak dipercepatkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, satu kenyataan juga akan dikeluarkan secepat mungkin mengenai perkara itu.

Sebelum ini, Tiong Lai pernah menyatakan bahawa penjualan rokok 14 batang akan diharamkan bagi mengehadkan kebolehcapaian awam terhadap rokok terutama di kalangan remaja dan hanya membenarkan penjualan rokok 20 batang yang harganya lebih mahal. – Bernama


mohazam= kalau stop rokok 14, income negara terganggu... keh keh keh
aku mampu gelak je la....

suatu lagi cadangan merapu

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) mencadangkan kenaikan kadar tol untuk setiap perjanjian konsesi bagi membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan hutang negara.

Ini akan memberi penjimatan sebanyak RM3.75 bilion kepada kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Idris Jala.

Bagaimanapun, ini hanya akan terpakai bagi lebuh raya bertol yang mempunyai laluan alternatif, katanya pada Hari Terbuka Subsidi PEMANDU bagi mendapatkan pandangan orang ramai mengenai potongan subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari Khamis.

"Jika tol dihapuskan, jumlah cukai pendapatan akan meningkat bagi tempoh 20 tahun akan datang," kata Idris Jala.

Di bawah cadangan itu, semua perjanjian konsesi akan diteruskan tanpa subsidi, yang membawa kepada kenaikan tol antara 10 dan 67 peratus bagi 2010.

Sebagai sebahagian daripada pelan mitigasi dalam cadangan itu, Idris Jala berkata, pengguna yang banyak menggunakan tol harus diberikan diskaun 20 peratus bagi isian semula akan datang untuk lebih daripada 80 transaksi sebulan.

Malaysia merupakan antara negara paling bersubsidi di dunia, katanya, sambil menambah negara ini menikmati lebih banyak subsidi berbanding Filipina, India, China dan malahan Somalia.

Pasukan Petugas Khas Kerajaan, PEMANDU, di mana Idris Jala merupakan ketua pegawai eksekutifnya, ingin mendapatkan maklum balas mengenai bagaimana untuk memperbaharui subsidi agar ia akan diberikan kepada kumpulan pendapatan yang betul.