Tuesday, December 29, 2009

USTAZ JADI MEKANIK

Mohd Karim berkelulusan Sarjana Muda Syariah kini milik tiga bengkel kenderaan


MUNGKIN takdir, mungkin juga kebetulan. Seorang siswazah berkelulusan Sarjana Muda Syariah Universiti Malaya (UM) pernah memohon melanjutkan pengajian sebagai ustaz menerusi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) tetapi ditolak sepanjang tiga tahun berturut-turut.

Niatnya cuma mahu berkongsi sedikit ilmu mendidik anak bangsa. Kegagalan itu mungkin menyebabkan kerjayanya berbeza daripada kelayakan dimiliki selepas bergelar pengusaha dan pemilik bengkel kenderaan.

Agak pelik, ustaz menjadi mekanik kereta, tetapi itulah realitinya kepada anak muda, Mohd Karim Abd Rahman, 32, yang kini mempunyai tiga bengkel membaik pulih kenderaan dikenali sebagai Aeroline Motors Sdn Bhd di Shah Alam dan Klang, Selangor serta di Parit Buntar, Perak.

Walaupun dunia berbeza, tetapi impiannya mendidik tetap diteruskan melalui pendekatan lain iaitu menerapkan nilai murni melalui pengisian pelbagai program rohaniah kepada anak buahnya.

Hujahnya mudah, jika pekerja mempunyai keimanan, pegangan agama kukuh serta mendapat sokongan padu majikan, sudah tentu ia akan menyumbang kepada hasil kerja berkualiti dan murni.

Atau dalam erti kata mudah, mereka tidak akan tergamak untuk mencuri, menipu dan pada masa sama hatinya cukup tenang serta gembira dengan apa yang mereka lakukan untuk mencari rezeki halal.

"Kami berikan pekerja ilmu, kemahiran berterusan supaya mereka belajar sesuatu. Takkan selamanya mereka mahu menjadi mekanik, sekurang-kurangnya saya mahu menjadikan mereka tauke bengkel.

"Sebab itulah saya kongsi ilmu pengurusan kewangan, pentadbiran kerana mereka sudah pun mempunyai kemahiran. Cara paling mudah ialah meletakkan kepercayaan tinggi kepada mereka menjalankan amanah dan saya cuma memantau, menegur apa yang sepatutnya.

"Setakat ini, alhamdulillah, dua bengkel di Shah Alam dan Parit Buntar sudah pun membuktikan pendekatan itu berjaya. Inilah yang saya impikan, mereka melahirkan ramai Bumiputera berjaya dengan berkongsi kejayaan," katanya.


Baginya, berkongsi ilmu mengusahakan bengkel kenderaan sudah memadai untuk menyebarkan ilmu selepas hasratnya menjadi seorang ustaz terbantut. Kini, pendekatan kerja diamalkan berdasarkan konsep 3S iaitu Solat, Syukur dan Sedekah.



Anak bongsu ini pernah bekerja sambilan sebagai ustaz selama dua tahun iaitu setahun ketika menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setahun selepas mendapat segulung ijazah. Abang dan kakaknya juga kini bergelar ustaz dan ustazah.

"Rezeki saya di sini. Mungkin kuota KPLI yang saya mohon itu sudah ditakdirkan untuk individu lain. Ramai rakan sekuliah saya di UM bekerja sebagai ustaz dan pensyarah.

"Semua ini bukan halangan untuk berjaya dan berkongsi ilmu. Kerjaya dan dakwah Islam sebenarnya bergerak serentak. Saya sedang berusaha mengubah mentaliti pekerja bahawa seorang mekanik tidak semestinya bekerja sebagai mekanik hingga akhir hayat kerana mereka juga boleh berjaya.

"Sebab itu, saya galakkan mereka belajar dan pada masa sama kita kuatkan ikatan kekeluargaan dan jiwa supaya sama-sama mencapai kejayaan. Setiap Khamis, kami secara bergilir-gilir akan menghantar dua pekerja menyertai kuliah agama di Masjid Shah Alam selama dua jam setiap minggu," katanya.

Mengulas lanjut konsep kerja 3S itu, Karim menegaskan, setiap individu patut bersyukur dengan rezeki dan kemahiran dimiliki tetapi perlu sentiasa berusaha memajukan diri. Paling penting, sentiasa menunaikan zakat kerana ia sebenarnya hak milik individu lain yang berhak.

Disebabkan itu, beliau bersyukur kerana mempunyai pelanggan daripada jabatan kerajaan kerana baginya hasil pendapatan yang diterima akan dipulangkan semula kepada Muslim yang berhak melalui zakat perniagaan yang diagihkan kepada fakir miskin.

"Kitaran itu cukup mudah. Pendapatan yang kami terima daripada jabatan kerajaan akan diagihkan semula kepada pusat zakat. Wang itu akan diagihkan kepada penerima yang berhak. Itu lebih berkat kerana ramai yang akan menerima hikmahnya.

"Saya juga membesar dalam keluarga susah dan menjadi anak yatim ketika berusia lima tahun. Perasaan itu menginsafkan diri untuk maju dan inilah masanya membalas jasa keluarga dan bangsa," katanya yang pernah membantu menjual nasi lemak di sekolahnya selama beberapa tahun, semata-mata mahu menambah pendapatan ibunya.

Anak felda ini juga pernah melalui zaman sukar apabila mengalami kerugian RM120,000 hinggakan hidupnya tertekan dihimpit bebanan hutang hampir setahun serta sering diancam along yang diupah pembekal barangan kereta.

Namun, beliau menerimanya sebagai asam garam dalam perniagaan sebelum bangkit semula apatah lagi selepas mendapat suntikan modal Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Kini, pendapatannya meningkat daripada RM20,000 kepada RM250,000 sebulan.

Selepas lima tahun terbabit dalam perniagaan ini, beliau mensasarkan meningkatkan jualan kepada RM400,000 sebulan dan bercadang membuka tiga lagi cawangan baru di Butterworth, Pulau Pinang dan Nilai, Negeri Sembilan serta Sepang, Selangor.

PROFIL: Mohd Karim A Rahman
· Tarikh lahir: 24 Disember 1976
· Asal: Felda Kampung Rahmat, Chalok, Setiu, Terengganu
· Isteri: Norkhairulizar Abdul Rahman, 31,
· Anak: M Irfan Daniel, 6; Iffah Nadhirah, 5; M Irfan Danish, 4; dan M Irfan Daewish, 2,
· Ibu: Esah Mohd Amin, 70,
· Ayah: Allahyarham Abd Rahman Ibrahim
· Adik beradik: Anak bongsu daripada tujuh beradik.
· Bendahari Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah Klang, Selangor

Pendidikan:
· Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rahmat Chalok
· Sekolah Menengah Agama (SMA), Setiu, Terengganu (1989-1993)
· SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Kuala Terengganu (1994-1995)
· Universiti Malaya - Sarjana Muda Syariah (Siasah Syar'iyyah) - 1996-1999.


http://www.bicarajutawan.com/forum/showthread.php?t=8267

BAYAR HUTANG ATAU DAPAT MALU DI FACEBOOK


KUALA LUMPUR - Ceti haram atau ah long kini sudah pandai mengugut peminjam yang tidak membayar hutang dengan cara memalukan mereka menerusi tindakan memasukkan gambar mangsa di dalam laman web sosial terkemuka Facebook.

Bersama gambar itu, mereka akan memaparkan maklumat peribadi mangsa dan jumlah hutang yang belum dibayar.


Mereka percaya ugutan melalui Facebook lebih berkesan memandangkan ia kini laman web sosial paling popular dengan anggaran 2.6 juta pengguna di Malaysia atau 300 juta di seluruh dunia.




Insiden itu dialami sendiri oleh seorang pekerja kedai aksesori kereta berusia 25 tahun yang terkejut mendapati gambar, nama dan tuntutan hutang ah long disiarkan dalam laman web itu baru-baru ini.

Mangsa yang berasal dari Batu Caves meminjam RM1,000 daripada ah long pada September lepas tetapi kini terpaksa menjelaskan pinjaman dengan bunga berjumlah RM8,000.




Bimbang dengan keselamatan dirinya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Jumaat lalu sebelum merujuk kesnya kepada Jabatan Aduan dan Khidmat Awam MCA.

Monday, November 30, 2009

Saturday, October 24, 2009

cerita hari sabtu

disebabkan hari ni weekend...
masa memang sangat free

wahidupsi pagi-pagi dah sms aku ajak ke bukit mahkota kat area2 kajang
ada orang nak sedekah dashboard kancil kata beliau

so, dengan segera aku gerak dengan wahid nek rusa beliau ke sane

sesat gak cari umah... sebab just refer pada no rumah dengan no jalan saje...
jumpa jugak owner barang tu... agak friendly

lepas tu kiteorang gerak balik ke cheras
wahid tanya aku nak pegi g mart tak?

apekejadah g mart tu?

rupenye2 tu kedai auction kereta antara terfemes kat area lembah kelang
ape2 pun kiteorang balik umah wahid untuk antar van rusa tu dulu

umah beliau agak rare, jalan pun satu lorong je...
kalu tangkap gambar pagi2 time kabus rasenye ada mcm kat okinawa jepun kot...
keh keh keh

kat sane aku kenal2 dengan mak ayah serta nenek beliau...
bole tahan la friendly... kat situ gak aku sempat godek2 koleksi keter model wahid...
gile kentang bersusun kat atas rumah... sementara menunggu hujan reda

lepas tu kiteorg pun gerak la ke hulu langat naik 125z Go!!!!!!!! wahid tu....
guna jalan bukit2 batu 14 hulu langat<> ampang

aku penah sekali je lalu jalan ni... mase on the way balik dari sungai gabai

laju rupenye nek moto g sane... pastu smpai la kat g mart

kat sini bersepah kereta lelong... kondisi sendiri mau ingat la...
ada yang bese2.. ada yang superb, yang mcm tinggal cesis pun ada...

thanks wahid dah bukak idea baru untuk baru... nak cari point dapat kereta murah2 pasni...
wat keter projek pun bole ni... ape2 kene belajar ilmu bidding dulu.. bukan senang woo

kancil 2008 rm 13k? serius murah2... tapi nak bersaing dengan orang2 len yang bid tu persaingan yang amat kuat... xpe... hari ni kite tengok2 je la dulu...
wahid tengah pilih kereta... kekeke




barang rare! kekekke

Friday, October 9, 2009

projek hujung minggu

masih dalam perancangan, nanti aku updatekan :)

Tuesday, October 6, 2009

tahniah abam ahib

KUANTAN 5 Okt. – Menjual kerepek dan kad prabayar untuk mengumpul wang bagi perbelanjaan perkahwinan - itulah yang dilakukan seorang siswazah Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini untuk berkahwin dengan rakan sekuliahnya.

Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Elektronik), Mohd. Hanis Jaludin, 23, sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai impian untuk berkahwin ketika sedang menuntut pada tahun akhir di universiti itu.

Dia yang ditemui bersama isteri, Nurmaliza Md. Ali, 23, adalah antara 834 graduan yang menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Keempat UMP.

Mohd. Hanis melahirkan kesyukuran kerana usaha untuk berkahwin dan menamatkan pengajian akhirnya tercapai.

‘‘Setelah perbelanjaan untuk perkahwinan kira-kira RM10,000 berjaya dikumpul, saya terus menyatakan hasrat untuk berumah tangga kepada kedua-dua belah pihak.

‘‘Pada mulanya keluarga tidak mengizinkan memandangkan kami berdua belum habis belajar tetapi setelah saya yakinkan mereka, akhirnya kami dinikahkan pada Mei lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berkat usaha gigihnya, Mohd. Hanis ditawarkan bekerja semasa masih menjalankan latihan industri di sebuah syarikat kejuruteraan di Shah Alam, Selangor sebagai Jurutera Elektrik.


MOHD HANIS JALUDIN atau lebih dikenali sebagai ahib0205 adalah merupakan rakan saya di forum carigold.com serta ahli berdaftar kcarlife.com

hmmm... ape citer ni????

Tanjong Malim, 4 Oktober – Profesor Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengeluarkan kenyataan semua penempatan lepasan UPSI ke sekolah-sekolah terpaksa dibeku bermula 2010.

Kenyataan tersebut dipetik dalam ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam 'Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia' anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa semalam.

Dalam pada itu katanya, pembekuan semua penempatan ke sekolah-sekolah ini dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melibatkan semua institusi yang mengeluarkan bakal-bakal guru bukan sahaja di UPSI malah di IPTA lain yang menawarkan program pendidikan termasuk Institut Perguruan (IPG) di seluruh negara berikutan masalah kewangan yang dialami pihak Kerajaan Malaysia.

Beliau pada awalnya mengambil langkah untuk tidak mengumumkannya kepada pelajar kerana bimbang menjejaskan motivasi pelajar untuk meneruskan pengajian namun bertukar fikiran dengan mengumumkannya semalam kerana beranggapan perkara tersebut harus diketahui semua pihak sebagai langkah persediaan.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan penempatan untuk graduan pada tahun ini tidak mengalami masalah kerana tindakan membekukan penempatan tersebut hanya bermula tahun hadapan.

Beliau walau bagaimanapun tidak mengeluarkan kenyataan bertulis berkenaan perkara tersebut dan hanya diselitkan dalam ucapan perasmiannya semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang mahasiswa UPSI mendakwa menerima mesej melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) daripada rakannya dari sebuah IPG mengatakan perkara yang sama minggu lalu. Katanya dalam e-mel yang dihantar ke upsikini@gmail.com, pelajar terbabit mengatakan keluaran UPSI dan IPTA lain yang tamat pengajian bermula tahun hadapan, perlu menunggu selama 2 tahun sebelum ditempatkan ke sekolah-sekolah.

Tambahnya, pelajar IPG yang dijadual ditempatkan ke sekolah-sekolah pada tahun hadapan akan diawalkan penghujung tahun ini bersama-sama dengan keluaran UPSI dan IPTA lain yang bergraduat pada tahun ini.

Keadaan ini menurutnya mempunyai kaitan dengan masalah yang berlaku apabila lambakan graduan pendidikan di seluruh negara.

Mengulas tentang perkara tersebut, Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Nur Aqilah Hanis berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan perkara tersebut daripada TNC Akademik sendiri supaya tidak berlaku kekeliruan.

“Isu ini boleh menjadi isu nasional, bukan hanya melibatkan UPSI sahaja, jadi lebih baik kalau saya dapatkan dulu penjelasan secara terperinci daripada Prof. Dr. Zakaria dan Bahagian Akademik supaya maklumat sebenar dan tepat diperoleh sebelum saya mengulas lanjut.

“Kita tak mahu isu ini menjadi sebab untuk kita bertelagah, apa yang penting selepas kita mendapatkan maklumat tersebut, kita akan fikirkan penyelesaiannya. Jadi semua pihak diharap dapat bersabar”, jelasnya.

Thursday, September 3, 2009

hidup ini memang payah

salam... selamat berpuasa... dah lama aku tak update blog ni...
ni lagu pilihan aku malam ni...
enjoy this song ok?

selamat berpuasa!!!


Monday, August 17, 2009

terungkai sudah satu lagi drama kehidupan

HULU SELANGOR: Setelah dua tahun membiarkan banyak pihak membuat spekulasi dan berteka-teki tentang hubungan mereka, penyanyi serta penceramah bebas, Akhil Hayy, 40, dan penyanyi popular Waheeda, 30, akhirnya telah selamat diijabkabulkan di Masjid Ar Rahimah, Kuala Kubu Baru, hari ini.

Hanya dengan sekali lafaz, Akhil atau nama sebenarnya, Akhil Abdul Hayy sah bergelar suami kepada penyanyi yang popular dengan lagu Wassini itu pada majlis pernikahan mereka yang dihadiri oleh kira-kira 200 tetamu yang rata-ratanya terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Turut hadir ialah dua anak Akhil iaitu Siti Nur Maisarah, 12 dan Mohd Syarif Idayatullah, 11.

Pasangan ini dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Ustaz Zulhairi Jaid sekitar pukul 12 tengah hari. Pada majlis itu, Waheeda menerima mas kahwin berjumlah RM 80 serta tujuh dulang hantaran berbalas 11 dulang oleh pihaknya.

Tiada wang hantaran diberikan, sebaliknya Waheeda dan ibubapanya hanya meminta senaskhah Al-Quran daripada pihak lelaki.

Akhil yang ditemui sejurus selepas majlis pernikahan itu melahirkan rasa syukur dan berharap perkahwinan ini mampu menjadi penutup kepada segala kontroversi yang melanda dirinya dan Waheeda selama ini.

"Jodoh dan pertemuan adalah urusan Allah. Sebelum ini pun, terlalu ramai yang bertanya bila kami akan berkahwin. Jadi hari ini, kami buktikan dan berharap ia dapat menutup segala spekulasi.

"Selebihnya, terserahlah kepada masyarakat kerana manusia boleh bercakap apa saja. Apa yang boleh saya katakan, ini bukan secara kebetulan dan bukan juga satu perancangan sangat pun.

"Sebelum ini, memang saya bercakap pada media bahawa saya senang dengan Waheeda. Cuma, untuk menggerakkannya ke arah itu (cinta), saya hanya serahkan kepada Allah.

"Tetapi, mustahil lah perkahwinan ini terjadi kalau bukan kerana cinta. Allah bukakan hati saya untuk menerima Waheeda dan dia ditakdirkan menjadi isteri saya.

"Insya-allah, saya akan cuba sebaik mungkin untuk membimbing Waheeda dan anak-anak," kata Akhil.

Menurutnya lagi, jika mengikut perancangan awal, dia ingin melangsungkan pernikahan pada 21 Ogos.

"Jika ikutkan, saya rancang untuk bernikah pada 21 Ogos, malam sebelum Ramadan dan semua tetamu boleh bersembahyang Tarawih bersama-sama.

"Tetapi bila melihat tarikh 16 Ogos ini lebih memudahkan keluarga dan saudara-mara lain untuk datang, jadi kami pilih saja tarikh hari ini," ujarnya.

Kontroversi yang melanda mereka berlarutan sejak dua tahun lalu apabila mereka dikatakan telah berkahwin dan Waheeda atau nama sebenarnya Norwahidah Abdul Wahab menjadi isteri kedua Akhil. Ketika itu, masing-masing menafikan tentang perkara tersebut dan menegaskan mereka hanya berkawan baik.

Namun, kisah itu semakin panas sekitar Mei lalu apabila isteri Akhil, Maizawati Zainal mengaku tentang pergolakan rumahtangga mereka dan Waheeda turut dikaitkan sebagai punca tersebut.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan Waheeda ketika itu kerana katanya, Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusimedia.

Maizawati kemudiannya mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru. Dia dan Akhil akhirnya sah bercerai dengan talak satu pada 15 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.

Menerusi perkahwinannya dengan Maiza, mereka dikurniakan empat orang anak.

Ditanya sama ada bekas isterinya itu turut mengetahui tentang perkahwinannya dengan Waheeda, kata Akhil:

"Saya tidak mahu komen. Dia tidak ada kena-mengena."

Dalam pada itu, Waheeda juga melahirkan rasa syukur kerana telah sah bergelar isteri setelah hebat dilanda kontroversi selama ini.

"Saya tidak mahu bercakap tentang kontroversi. Bagi saya, lebih banyak benda lain yang patut difikirkan. Saya mengambil nasihat Dr.Fadzilah Kamsah yang pernah cakap pada saya, cabaran yang dilalui sebenarnya akan diberikan ganjaran yang besar kelak.

"Perkahwinan ini juga adalah untuk merapatkan hubungan ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Kami juga tidak akan pergi berbulan madu, tetapi akan menggunakan masa yang ada untuk melawat saudara-mara.

"Saya juga telah bersara dari dunia seni dan ingin memberikan tumpuan pada suami dan anak-anak," kata Waheeda yang juga bersedia untuk menimang cahayamata sendiri jika dikurniakan rezeki.

Ditanya mengapa pihaknya hanya meminta senaskhah Al-Quran sebagai pengganti wang hantaran, ujar Waheeda, dia berpendapat perkara itu lebih afdal kerana Al-Quran adalah pelengkap segala-galanya.

"Ini memang permintaan bapa saya juga. Lagipun, saya tidak mahu perkahwinan ini membebankan sesiapa. Malah, saya dan Akhil memang sentiasa berpegang kepada Al-Quran dalam kehidupan," katanya yang juga menafikan majlis itu dibuat secara 'rahsia'.

"Majlis ini dibuat di sini kerana kawan Akhil ingin menikahkan kami sendiri. Kami juga tidak merahsiakan perkahwinan ini dari media kerana kami turut menjemput rakan-rakan media yang rapat dengan kami.

"Lagipun, keluarga dan saudara-mara di sebelah saya dan Akhil ramai yang hadir hari ini. Insya-allah, kami akan adakan sebuah resepsi pada 31 Oktober nanti di Dewan Bukit Jelutong, Shah Alam dan akan jemput lebih ramai tetamu," katanya.

Sebuah lagi resepsi di Gopeng, Perak juga akan dibuat seminggu kemudiannya.


kredit to :

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/8/16/mstar_hiburan/20090816110517&sec=mstar_hiburan